Hidayah duduk menopang dagu di muka tingkap. Dibiar angin membuai-buai rambutnya yang hitam panjang mengurai. Dia sedih sekali hari itu. Hajatnya untuk menjamah ayam KFC terbantut dek kerana ayahnya tidak membenarkan. Masakan tidak, hidangan itu dilihat sesuatu yang mewah di mata orang kampung sepertinya. Hidayah, anak kecil berumur 6 tahun itu merajuk pada ayahnya lalu membawa diri di hujung tingkap rumah kayu berusia sepuluh tahun itu. Hidayah bermonolog seorang diri. Dia teringat pada cerita cikgu Halimah, guru tadikanya yang bercerita mengenai Allah. "Cikgu Halimah kata, bila kita mati nanti kita akan masuk syurga. Dalam syurga nanti nak makan apa pun boleh." Lalu Hidayah berangan-angan mahu makan ayam KFC bila di syurga nanti. "Mesti akan dapat punya. Allah tu kan Maha Pemurah." Pujuk hatinya. Hidayah mahu benar belajar solat tapi dia sendiri naik hairan mengapa ibu dan ayahnya tak pernah mengajarkan dia solat. Mungkin mereka sibuk atau lupa barangkali. Lalu di suatu Maghrib Hidayah tekad menghamparkan sejadah dan memakai telekung ibunya untuk bersolat. "Apa benda yang nak dibaca dalam solat ni?" Hidayah berkira-kira dalam hati. Lama benar dia berdiri. "Buat je la yang macam ibu selalu buat." Bisik Hidayah lagi. Lalu dia menyudahkan solat dengan memberi salam kiri dan kanan. Itulah solat pertamanya.
Bila Hidayah naik darjah satu, ayahnya membawa dia ke bandar membeli baju sekolah. "Nak skirt atau baju kurung?" Ayahnya bertanya. "Mungkin baju kurung. Ibu kata budak sekolah pakai baju kurung." Kata Hidayah kepada ayahnya. Hidayah gembira kerana dibelikan baju putih berkain biru gelap. Di matanya baju itu lagi cantik daripada skirt biru gelap yang dipakai Aida, kawan sekelasnya. Hidayah juga selalu cemburu pada Fatin yang memakai tudung ke sekolah. Hidayah merasakan Fatin comel benar bertudung. Lalu Hidayah bertanya pada Fatin. "Macam mana eh buat tudung? kami nak pakai jugak,"Tanya Hidayah. Fatin menjawab tanpa segan silu." Haa, nak buat tudung senang ja. Amik kertas, pastu rendam dalam air. Nanti amik kertas tu pastu jemur tengah panas." Fatin, gadis kecil bergigi rongak di depan bercerita penuh semangat. "Camtu la buat tudung!" Omel Fatin sambil mengunyah keropok lekor.
“Wah! Nak buat lah tudung tu.” Fikirannya berputar-putar kepada tudung putih yang bakal dipakainya ke sekolah kelak. Petang itu Hidayah sibuk di belakang rumah dengan kertas putih yang dijemurnya. “Tak nampak macam tudung pun!” Sebal hatinya. Seminggu Hidayah merengek pada ibunya untuk mendapatkan tudung buat dirinya. Lalu belum tamat sesi persekolahan tahun itu, ibunya membelikan tudung putih bercorak bunga di tepi buat Hidayah. “Nanti Hidayah panas. Jadi ibu belikan Hidayah tudung yang satu lapis je. Ok tak?” Tanya ibunya. “ Ok bu!” Hidayah menyeringai gembira. Hatinya puas.
Hidayah si gadis kecil berumur tujuh tahun itu selalu hairan dengan ayahnya yang tak pernah sekalipun dilihatnya menunaikan solat. Di bulan Ramadhan juga begitu. Tidak pernah dilihatnya ayah bangun sahur bersama ibu dan adiknya. Kadang-kadang Hidayah naik geram sama ibu dan ayahnya yang tidak menghantar dia ke kelas Fardhu Ain di sekolah. Dia sedih bila mendapat tahu kawan-kawannya ke kelas Fardhu Ain sebaliknya dia tidak. Dia berfikir dan berfikir lagi.
*nama-nama watak tiada kaitan antara hidup dan yang telah meninggal dunia.