Wadir mengusap-usap dadanya. ‘Sabar-sabarkan diri kamu!’ Wadir membuka mata yang sedari tadi pejam. Terimbas kejadian di tepi kolam pancing tadi, saat dia sekadar duduk-duduk dengan rakan-rakan berkongsi cerita hati. Masing-masing membawa bekal makanan untuk mengisi perut petang yang lapar mungkin. Sepiring cekodok pisang, cucur udang dan satu termos air teh susu dijamu selera. Lalu Wadir membuka cerita.
‘Bismillah. Petang ni, tak sangka betul dapat jamu makanan yang enak lagi panas ya.’ Semua yang lain tertawa. ‘Iyelah, manakan mudah peluang makanan percuma dicari lantaran ekonomi genting macam kena jerut tali gamaknya.’ seorang mencelah tak malu.
Wadir tersenyum. Sudah lama dia merancang pertemuan petang ini, dengan harapan semuanya dapat hadir. Habis sudah dikayuh basikal getahnya ke seluruh kampung menjejak segenap rumah kawan-kawannya untuk mengingatkan mereka tentang rancangan dia kali itu. Kali ini, Wadir puas. Makanya, objektif perlu dicapai. Lalu Wadir buka buku. ‘Jom, kita sharing2.’ Dilihatnya muka setiap sahabatnya. Ada yang terkulat2 mencapai buku dalam beg. Ada yang cepat-cepat menghabiskan kunyahan cucur yang sedikit berbaki. Ada pula yang menepuk-nepuk kedua tangan, membuang sisa minyak dan habuk makanan.
‘Siap semua?’ Ada yang angguk dan tidak.
‘Siapa takde buku?’ Terus Wadir mencapai beg dan mencari dua lagi naskhah yang turut dibawa. ‘Manalah tau ada yang tertinggal buku nanti’ getus Wadir semasa di tangga rumah.
‘Kita buka mukasurat tiga ratus lima puluh lima ya. Siapa nak baca, silakan.’ Wadir berdoa harap-harapnya adalah yang berani kali ini.
‘Bismillah. Tidakkah engkau tahu bahwa kepada Allah-lah bertasbih apa yang di langit dan di bumi, dan juga burung yang mengembangkan sayapnya. Masing-masing sungguh telah mengetahui (cara) berdoa dan bertasbih. Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. Amin.’
Wadir mendongakkan pandangannya ke langit. ‘Kenapa Wadir, kenapa?’ tanya yang lain. Wadir terdiam. Hebat! Matanya menyapu sekian isi biru langit. Terlihat tompok-tompok awan yang kelabu jauh di sebelah timur. Ada sinar jingga terbias sana sini petanda senja sudah menjengah malu. Itu dia!, mata Wadir bersinar.
‘Tengok tu.’ Wadir menunjuk jarinya ke barat. Di situ ada sekawan burung sedang terbang naik dan turun bumi. Semua terdiam melihat apa yang ditunjukkan Wadir. Masing-masing cuba mencerna apa yang ingin Pencipta Semesta sampaikan menerusi ayat tadi.
‘Apa yang kalian fikirkan?’ Wadir menoleh ke hadapan kembali. Ada yang masih asyik melihat burung-burung. Tak sedar mereka waktu pemerhatian sudah tamat.
‘Wadir, nak bagi pendapat boleh?’ begitu hormat dan santunnya budi bicara yang seorang ini. ‘Silakan.’ hati Wadir senang. Ada yang mahu bersuara dengan suka rela akhirnya.
‘Di sini, Allah ternyata lebih tahu. Macam burung kita dengar dia berkicau, padahal setiap masa burung tu bertasbih mensucikan Allah.’
‘Ya, betul sekali.’ Sekilas dipandangnya muka-muka di hadapan. ‘Siapa lagi nak kongsi pendapat?’ Kali ini, ada yang tekun mencatit sesuatu dalam buku dan ada yang khusyuk membaca semula ayat tadi.
‘Saya!’ Lantas Wadir menggangguk.
‘Em..saya lihat di sini Allah letak “fissama’ watiwal ardh” yang maksudnya di langit dan di bumi. Maksudnya segala makhluk di langit dan bumi ke Wadir?’
‘Siapa nak tolong jawab?’ Wadir sudah boleh tersenyum. Ini sudah bagus. Ada yang sudah berani bertanya. Terus diambilnya peluang ini untuk membuka forum kecil, biar ramai mahu participate.
‘Biar sini aku jawab. Aku rasa memang segala makhluk langit dan bumi, termasuklah manusia macam kita ni. Betul tak Wadir?’
‘Tiada yang salah. Siapa nak tambah?’ Tiada yang bergerak mengangkat tangan mahupun menggerakkan lidah.
‘Baik. Wadir juga berfikir benda yang sama. Manusia sebenarnya turut sekali ada dalam golongan bumi macam disebut sini. Tapi hari ini tak semua dengan patuh mensucikan Allah. Perasan tak? Kalaulah semuanya baik belaka dan mengamalkan Islam mesti kita sudah ada Negara Islam.’ Wadir diam menanti respon mereka.
‘Tapi kan Wadir kita ada Negara Arab Saudi, Mesir dan Iran kan?’ Wadir pandang kembali muka sahabat-sahabatnya lama-lama. Ada bias keliru di sana. Nampaknya sudah tiba masanya untuk menceritakan pada mereka kisah ini, fikir Wadir. Nafas ditarik dalam2 sambil hati memanjat tawakkal pada Allah. Harapnya mereka faham.
[sambung]
No comments:
Post a Comment